Untuk menjalankan tugas-tugas mendorong orang bawahan, seseorang pemimpin atau ketua perlu menjadi seorang yang mudah disukai oleh orang bawahannya. Ini tidak pula bermakna pemimpin itu perlu menjadi seorang yang popular disebabkan dia tidak mahu bersikap tegas dan mengambil tindakan yang tidak popular ke atas orang bawahan yang melanggar peraturan. Ciri mudah diterima dan disukai oleh orang bawahan adalah perkara penting kerana seseorang pemimpin itu hanya dapat mempengaruhi mereka yang dipimpinnya supaya mengubah sikap, pemikiran dan tingkah lakunya apabila mereka menyukai si pemimpin.
Tahap pertama apabila hendak mendorong orang-orang bawahan adalah dengan menjadi orang yang mudah diterima, dihormati dan disukai oleh mereka. Apabila mereka suka kepada si pemimpin mereka akan suka dengan kehadirannya di mana mereka suka bertemu, berkenalan, bekerja dengannya. Bagi pemimpin yang mempunyai daya pengaruh yang tinggi langkah pertama ialah memperbanyakkan ciri-ciri peribadi yang menjadikannya mudah disukai.
Pakar-pakar psikologi dan komunikasi memberi panduan bagaimana menjadi orang yang mudah disukai:
BERI KERJASAMA TANPA DIMINTA
Tingkatkan sikap mudah menyumbang dan memberikan kerjasama kepada sesiapa sahaja. Dalam erti kata lain, seseorang itu mesti suka menolong orang-orang lain. Orang yang pernah menerima pertolongan menyukai orang yang pernah menolongnya. Kajian-kajian pakar psikologi mendapati orang yang pernah menerima pertolongan mudah terpengaruh oleh kata-kata, pandangan dan nasihat orang yang pernah menolongnya. Kajian juga mendapati perkara yang sebaliknya juga berlaku, iaitu seseorang itu cenderung menyukai orang yang pernah ditolongnya.
BERSIKAP BAIK HATI
Jadilah orang yang jujur, ikhlas dan berbaik hati. Gambarkan sifat-sifat mulia itu dalam percakapan dan perbualan. Apabila bercakap, bercakaplah berkenaan perkara-perkara yang baik sahaja, tetapi jangan bersandiwara kerana sebaik-baik orang tahu seseorang itu cuma berpura-pura baik, kesan negatif itu berkekalan. Seseorang itu tidak mungkin dapat membuat orang-orang yang mencurigai kejujuran dan keikhlasannya menyukai dirinya.
SABAR MENDENGAR
Banyakkan mendengar daripada bercakap. Biar orang yang hendak dipengaruhi itu yang mendapat banyak peluang bercakap. Adalah sifat manusia suka mendengar suaranya sendiri barulah dia bersikap terbuka kepada pandangan dan nasihatnya dan dengan itu barulah kita dapat mempengaruhinya.
MURAH DENGAN PENGHARGAAN
Tingkatkan kemahiran menarik minat orang lain disebabkan manusia sentiasa menghargai kata-kata pujian. Gunakan teknik-teknik yang betul apabila memberi pujian. Selalulah ucapkan kata-kata penghargaan. Manusia mudah terpengaruh dengan kata-kata orang yang pandai memberi pengiktirafan dan penghargaan kepadanya. Orang yang pernah menerima pengiktirafan, pujian dan penghargaan daripada seseorang akan bersikap lebih terbuka kepada pendapat dan nasihat orang itu, sebaliknya mereka tidak suka orang yang banyak mengkritik dan menegur mereka meskipun niatnya adalah baik.
GUNAKAN BAHASA POSITIF
Apabila bercakap-cakap dan berbual-bual gunakan gaya positif dan kooperatif. Gaya positif tidak menggunakan perkataan-perkataan negatif. Gaya kooperatif pula bermakna seseorang itu tidak tunjuk dia seorang yang lebih pandai dengan cara membuktikan orang lain bodoh, salah, atau tidak betul. Orang yang tidak pandai berkomunikasi cenderung membuktikan orang lain salah bagi membuktikan dirinya betul dan lebih pandai. Tidak ada orang yang suka dirinya dibuktikan salah ataupun lebih bodoh daripada orang lain. Orang yang pernah dibuktikan bodoh, salah atau pun silap tidak akan menyukai orang itu. Gunakan cara-cara lembut dan sopan bagi membuktikan dirinya betul.
BERMINAT PADA ORANG LAIN
Apabila berbual-bual, jangan hanya berminat pada diri sendiri.Ada orang suka bercakap "saya....saya...saya..." yang sangat membosankan orang yang mendengar oleh itu berjimat cermat apabila menggunakan perkataan 'saya'. Manusia memang berminat dengan dirinya sendiri dan mereka menyangka cerita mereka adalah paling menarik untuk diperdengarkan kepada orang-orang lain. Bagi disukai oleh orang lain, jangan banyak bercerita tentang diri sendiri, sebaliknya galakkan orang lain bercerita tentnag diri mereka sendiri.
BERSIKAP AFIRMATIF
Apabila sedang berkomunikasi ucapkan kata-kata yang membuat rakan bual berasa seronok menjadi dirinya sendiri. Gambarkan seseorang itu seronok dapat mendengar biji butir perbualan rakan bualnya dengan cara tekun mendengarnya bercakap. Elakkan daripada menyampuk atau pun menyambung ayat-ayatnya. Jangan mencelah dan jangan memandang ke tempat lain dengan cara itu keperluan jiwanya akan terisi. Manusia suka kepada manusia-manusia lain yang pandai mengisi keperluan jiwanya.
Kemahiran komunikasi adalah kemahiran yang sangat besar gunanya. Menurut kajian, orang-orang yang mahir berkomunikasi dipandang sebagai orang yang mempunyai daya tarikan. Mereka juga dipandang lebih tampan, lebih manis dan lebih jelita daripada diri mereka yang sebenarnya. Ini tidaklah menghairankan kerana dengan menggunakan teknik-teknik komunikasi yang betul, setiap kali mereka itu bercakap, mereka pandai membuat orang lain berasa seronok. Akibatnya, orang yang berpeluang bercakap-cakap dan berbual-bual dengan mereka akan jatuh suka dan tertarik kepada mereka.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Silahkan luangkan waktu anda untuk memberikan Sedikit Komentar Buat Kemajuan Blog ini.. Setetes Komentar anda sangat berarti buat saya ok tulis yaaa..